15 calon Bersatu Pulau Pinang berebut jawatan, pemimpin bawahan nekad tanding naib presiden

Oleh AHMAD BADRUL

Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah antara 15 calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang

Mereka yang akan bertanding untuk jawatan peringkat pusat pada pemilihan parti bagi 2024-2027.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti negeri, Mazhar Zolbahar, berkata Ketua Bahagian Bersatu Batu Kawan, Aziss Zainal Abidin,

akan bersaing untuk jawatan Naib Presiden manakala lima lagi ketua bahagian akan bertanding untuk Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

“Mereka yang akan berentap untuk MPT ialah Ketua Bahagian Permatang Pauh yang juga ADUN Penanti, Zulkefli Bakar; ADUN Telok Ayer Tawar, Azmi Alang (Tasek Gelugor); Azahari Aris (Bayan Baru);

15 calon Bersatu Pulau Pinang berebut jawatan, pemimpin bawahan nekad tanding naib presiden

Rasman Farish Shamsuddin (Bukit Gelugor) dan bekas ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishak (Kepala Batas).

“ADUN Seberang Jaya, Izhar Shah Ariff Shah pula menawarkan diri untuk bertanding sebagai Naib Ketua Armada.

“Selain itu, tiga individu termasuk bekas calon Pilihan Raya Umum Ke-15 bagi Parlimen Balik Pulau, Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid, dan Ketua Penerangan Armada negeri, Muhammad Ashraf Hayub Khan, akan bertanding untuk jawatankuasa Armada,” katanya pada sidang media di pejabat Bersatu negeri di sini, malam tadi.

Tambahnya, empat ketua srikandi negeri ini akan bertanding bagi jawatankuasa srikandi, manakala seorang calon akan merebut jawatankuasa srikandi muda.

“Secara keseluruhan, sebanyak 391 borang pencalonan diterima untuk semua kategori, namun hanya 323 pencalonan disahkan layak bertanding untuk pusat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mazhar memaklumkan bahawa tujuh ketua bahagian Bersatu negeri ini menang tanpa bertanding.

“Mereka terdiri daripada bahagian Permatang Pauh, Tasek Gelugor, Batu Kawan, Nibong Tebal, Jelutong, Bukit Gelugor, dan Bayan Baru.

“Kita mempunyai 13 bahagian, namun tiga bahagian tidak layak bersidang iaitu Bukit Mertajam, Bukit Bendera, dan Tanjong disebabkan cawangan tersebut tidak memenuhi syarat pemilihan.

“Memandangkan tujuh ketua bahagian telah menang tanpa bertanding, pemilihan bahagian pada 2 November nanti akan menyaksikan pertandingan membabitkan Balik Pulau, Kepala Batas, dan Bagan,” katanya.

Semalam, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Saiful Adli Mohd Arshad, memaklumkan bahawa pihaknya menerima 8,531 borang pencalonan daripada ahli seluruh negara untuk menentusahkan kelayakan dan keabsahan bagi mengambil bahagian dalam pemilihan parti sesi 2024-2027.

Katanya, seramai 93 calon bertanding bagi peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Jawatankuasa Armada Malaysia (53), Jawatankuasa Srikandi Muda Malaysia (39), dan Jawatankuasa Sayap Bersekutu Malaysia (27).

BACA: Modal tak sampai RM10, ini cara jimat ke Klia2 buat abang grab pun pening