Ahli KWSP boleh buat pengeluaran mulai 7 april, ini cara memohon

Oleh GEMILANGDAILY

Ahli KWSP boleh buat pengeluaran mulai 7 april, ini cara memohon.

Hanya simpanan dalam Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh digunakan untuk membayar pembiayaan peribadi ini menerusi permohonan awal Pengeluaran

Bersyarat Umur 50 atau 55 Tahun, berdasarkan pengeluaran sedia ada yang dibenarkan di bawah Akta KWSP 1991.

Ahli KWSP boleh buat pengeluaran mulai 7 april, ini cara memohon

KWSP dalam kenyataan berkata, bagaimanapun, pengeluaran ini adalah bersyarat di mana pembayaran akan hanya dibuat kepada institusi perbankan apabila ahli sudah mencapai umur 50 hingga 55 tahun, seperti termaktub dalam akta.

Katanya, pihak bank akan mentadbir sepenuhnya proses permohonan untuk pembiayaan peribadi melalui kemudahan ini, tertakluk kepada penilaian pembiayaan dan rangka kerja kredit mereka.

“Permohonan pembiayaan peribadi ini boleh dibuat secara dalam talian melalui institusi perbankan yang mengambil bahagian.

“Sebelum membuat permohonan, ahli perlu membuat semakan awal kelayakan dalam Akaun 2 KWSP.

“Permohonan hendaklah dibuat mengikut terma dan syarat yang dipersetujui dengan institusi perbankan. Selepas permohonan diluluskan, ahli boleh mengemukakan permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 atau 55 Tahun kepada KWSP berdasarkan amaun pembiayaan peribadi yang diluluskan oleh institusi perbankan berkenaan,” katanya.

Menurut KWSP, Fasiliti Sokongan Akaun 2 akan dilaksanakan dalam dua fasa dan ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon melalui bank yang mengambil bahagian iaitu MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

KWSP akan mempertimbang untuk menambah lebih banyak bank yang mengambil bahagian pada masa hadapan.

Semasa Fasa 1, yang akan bermula pada 7 April 2023 dan dibuka selama setahun, ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas boleh memohon, tertakluk kepada kesediaan bank yang mengambil bahagian.

Tarikh mula untuk Fasa 2 untuk ahli di bawah umur 40 tahun akan diumumkan dalam masa terdekat.

Di bawah kemudahan ini, semua ahli KWSP warganegara Malaysia di bawah umur 55 tahun boleh membuat notis awal untuk Pengeluaran Umur 50 atau 55 Tahun, dengan syarat mereka mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP mereka.

Jumlah pembiayaan maksimum ditetapkan pada RM50,000, tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP, dengan tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun.

Sementara itu, Kadar faedah (Konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) yang akan dikenakan oleh bank yang mengambil bahagian di bawah program ini adalah antara 4.0 hingga 5.0 peratus, lebih rendah dan lebih berpatutan daripada kadar pasaran semasa iaitu 8.0 hingga 15 peratus.

Kemudahan ini disasarkan kepada ahli KWSP yang mempunyai simpanan dalam Akaun 2 dan disokong dengan pendapatan yang berpatutan bagi memastikan mereka mampu membiayai dan membayar balik tanpa menjejaskan kecukupan dan keselamatan simpanan persaraan mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai Fasiliti Sokongan Akaun 2, ahli boleh merujuk kepada laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan di 03-8922 6000.

BACA:

“Kalau nak ceramah ambil tauliah, tak mau ambil tauliah? Duk diam-diam” – Ustaz Kazim

Ini senarai 20 bandar punyai kualiti hidup terbaik dalam dunia, Malaysia tersenarai ke?