“Aku nampak seorang wanita. Perempuan mana je yang berbual dengan suami orang tengah malam buta! Aku terus pergi ke arah ayah dan ayah sangat terkejut. Ayah tekup mulut aku dan tarik aku ke dapur..”

Oleh ZULQARNAIN ISMAIL

“Aku nampak seorang wanita. Perempuan mana je yang berbual dengan suami orang tengah malam buta! Aku terus pergi ke arah ayah dan ayah sangat terkejut. Ayah tekup mulut aku dan tarik aku ke dapur..”

Nama saya Hana. Pada permulaan saya bercerita dahulu mengenai latar belakang keluarga.

Saya merupakan anak sulung dan saya mempunyai 3 orang adik beradik di bawah yang saya namakan sebagai adam, idrees dan Melati.

"Aku nampak seorang wanita. Perempuan mana je yang berbual dengan suami orang tengah malam buta! Aku terus pergi ke arah ayah dan ayah sangat terkejut. Ayah tekup mulut aku dan tarik aku ke dapur.."

Ayah saya seorang trainer kelas boxing. Ayah tidaklah sado tapi badannya sangat fit dan biasanya orang tak percaya pun kalau ayah dah mencecah usia 46 tahun. Ibu pula seorang akauntan di bank. Pada awalnya keluarga saya adalah normal dan bahagia seperti orang lain.

Sampai lah tahun 2018, apabila ibu terlibat dengan kemalangan jalan raya sewaktu pulang kerja. Keadaan sangat teruk dan kereta pun total loss. Ibu dimasukkan ke unit rawatan rapi (icu) selama dua minggu. Masa tu, kami sekeluarga memang hilang arah.

Tapi dengan kuasa Tuhan, ibu kembali sedar tetapi Dr mengesahkan separuh badan ibu lumpuh. Maka, ibu terpaksa berhenti kerja dan ayahlah sepenuh masa menjaga ibu. Rutin keluarga kami mula berubah, kalau dulu ibu siapkan barang persekolah adik-adik, kini semuanya menjadi tanggungjawab saya.

Setiap hari saya bangun pagi dan siapkan adik-adik disebabkan ayah hanya memberi tumpuan kepada ibu. Ayah jaga ibu sampailah saya pulang ke sekolah dan kemudian pergi kerja sampai malam. Saya lah yang mengambil kesemua tugas di rumah.

Sejujurnya saya tak kesah asalkan ibu tetap hidup. Selalu juga ibu minta maaf dekat saya sebab tak dapat nak membantu. Setiap minggu akan ada tukang urut yang datang untuk mengurut ibu, ayah kata sebagai ikhtiar. Ayah tiada masalah untuk menguruskan ibu.

Mandi, masakkan untuk ibu, angkat ibu semua boleh dan tak pernah sekali pun saya tengok ayah merungut atau mengeluh. Ayah sentiasa senyum depan ibu. Kata ayah, ibu selalu rasa bersalah jadi ayah senyum tanda gembira dapat berbakti dekat ibu.

Masa tu, saya gembira sebab saya rasa kuat betul kasih sayang ayah dekat ibu. Tahun 2019, ibu dah semakin baik dan dapat terima keadaan diri dia yang lumpuh. Kami juga dapat mengadaptasi semuanya dengan agak baik terutamanya Melati.

Tapi, satu kejadian yang berlaku, waktu kami sekeluarga tengah makan, hidung ibu tiba-tiba keluar darah dan muka ibu pucat sangat. Tak lama lepas tu, ibu pengsan. Ayah bergegas telefon ambulans dan saya hanya tinggal di rumah sambil menenangkan adik-adik.

Kemudian malam tu jam 12 ayah pulang sendirian di rumah. Ayah tarik saya masuk bilik dan bagitahu doktor ada buat test dekat ibu. Hasil secara kasar ibu ada kanser limfa tapi doktor akan buat ujian lain untuk tahu stage berapa.

Sebenarnya, sejak dua menjak ni memang kelihatan ibu letih, kurang selera makan dan nampak lemah tapi ayah hanya bagi makan ubat sebab ibu tak nak ke hospital. Waktu saya dengar tu rasa macam gelapnya dunia. Dalam hati berdoa supaya stage 1 atau 2 sahaja.

Saya tak menceritakan hal tersebut pada adik-adik. Mereka terlalu muda untuk hadap realiti kehidupan yang pahit. Saya bimbang mereka tak dapat fokus di sekolah. 2/3 hari macam tu seingat saya, doktor mengesahkan ibu ada kanser limfoma tahap 2.

Kata doktor, kanser yang menyerang adalah ganas tapi masih boleh dikawal. Saya dan ayah sedikit lega bila dengar penjelasan doktor, kanser bukanlah penanda akhir kehidupan. Ramai je yang dapatkan rawatan dan bebas daripada kanser. Termasuklah ibu. Saya yakin waktu tu.

Ibu perlu segera menjalani rawatan kemoterapi di hospital. Sesi pertama sahaja, muka ibu pucat sangat dan ibu muntah-muntah sebab tak tahan. Saya yang teman ibu. Balik je rumah, ibu menangis dan katanya tak nak teruskan sesi kem0terapi kerana terlalu sakit.

Ayah tetap memujuk ibu dan setiap hari menenangkan ibu. Selepas dapat tahu ibu ada kanser, ibu jadi semakin sensitif dan selalu menangis. Makan harus dipaksa dan ibu senyap membisu. Tak bercakap dan keluar bilik.

Paling terkesan dalam situasi ni adalah Melati. Kalau setiap malam ayah memujuk ibu, saya pula sibuk memujuk Melati untuk berhenti menangis. Keadaan rumah suram dalam sekelip mata. Ibu asyik berkurung dalam bilik dan walaupun kami masuk ke dalam menjenguk keadaan dia, tetap saja dia tidak menghiraukan kami.

Keadaan ibu lagi teruk bila rambut ibu dah mula gugur, kening ibu dah mula hilang. Kesan daripada kemoterapi. Kadang-kadang ibu meracau, menjerit-jerit seolah olah tak dapat menerima keadaan dirinya. Yang selalu saya dengar, ibu halau ayah keluar daripada bilik sebab ibu malu dengan diri dia.

Setiap kali itulah ayah kekal tenang dan terus bersabar memujuk ibu. Tahun 2020, waktu pkp kemoterapi masih diteruskan dan berbaki 2-3 sesi macam tu. Tapi keadaan ibu macam tak ada perubahan. Badan makin susut.

Seolah-olah tiada daya juaang untuk terus hidup. Mata ibu pun kelam. Disebabkan keadaan ibu yang macam tu, ayah minta surat refer untuk bawa ibu jumpa pakar psikiatri. Setelah beberapa sesi, doktor sahkan ibu ada kemurungan.

Lepas satu satu ujian yang kami hadapi. Ibu cakap dia normal dan marahkan kami seolah-olah menganggapnya gila. Kadang-kadang ibu marah sampai tak nak tengok muka kami. Ibu, bukan lagi ibu yang dulu. Saya sendiri rasa seolah-olah ada jiwa asing yang menumpang sosok badan ibu.

Tipulah kalau saya tak menangis. Setiap malam saya juga menangis sambil menekup mulut supaya tiada yang mendengar. Saya tetap kena kuat untuk adik-adik sampai saya terlupa, saya hanyalah seorang remaja biasa.

Saya pernah marah ibu, saya menjerit depan muka ibu dan ayat yang keluar dari mulut saya waktu tu sangat berbisa. Kata saya, “saya korbankan zaman remaja saya untuk ibu, saya tahan semua keinginan saya berlari seperti remaja lain, saya bunuh jiwa remaja saya yang memberontak untuk bebas dan saya buat segalanya untuk ibu sembuh.

Hanya saya yang beria nak tengok senyuman ibu, tapi ibu seperti orang hilang arah yang sedang menunggu mati. Kalau macam tu, lebih baik hentikan je rawatan dan tunggu sahaja dijemput malaikat.” Ibu tersentak dan saya nampak ibu menangis tapi saya keraskan hati dan saya keluar macam tu sahaja.

Lepas kejadian tu, seminggu saya tak jenguk ibu, sampailah ibu yang panggil saya. Ibu minta maaf dan saya juga minta maaf. Masa tu saya tak faham tentang penyakit kemurungan. Sepatutnya saya lebih bersabar. Tetapi, selepas itu ibu nampak sedikit aktif dan berusaha juga untuk melawan sakitnya.

Ibu kata dia hilang keyakinan diri bila tengok diri dia yang sekarang. Ibu risau, ayah berubah hati dan ibu merasakan bahawa dia isteri dan ibu yang tak berguna. Saya yakinkan ibu bahawa ayah tetap sayangkan ibu walau apa pun keadaanya, begitu juga kami.

Satu malam, saya terbangun untuk minum air di dapur dan saya terdengar ada suara yang berbisik. Saya intai ke arah ruang tamu dan kelihatan ayah yang duduk di sofa. Lama saya intai dan saya tengok ayah sedang bercakap telefon sambil senyum dan ketawa tapi nadanya perlahan.

Bila saya turun ke bawah, ayah cepat-cepat matikan telefon dan melihat ke arah saya dengan riak muka cemas. Saya ni seorang yang sangat sensitif dengan persekitaran. Jadi saya dapat baca perubahan orang di sekitar saya.

Tapi saya pilih untuk abaikan saja. Tapi rasa ingin tahu ni menguasai diri. Hari seterusnya juga masih sama. Saya perhatikan je ayah di ruang tamu sedang bercakap. Kemudian ayah tukar kepada video call. Saya nampak jelas seorang wanita.

Perempuan mana je yang berbual dengan suami orang waktu tengah malam. Untuk elak drama saya terus pergi ke arah ayah dan ayah sangat terkejut sehingga tercampak telefon. Saya hanya renung ayah dan saya kata saya nampak wanita tu.

Ayah tekup mulut saya dan tarik saya ke dapur. Ayah jelaskan tu hanya trainee dia yang minta pandangan mengenai kelas boxing. Saya ni bukanlah bodoh. Saya tekan ayah sampai akhirnya dia mengaku malam tu juga. Ayah memang bercinta dengan wanita tu.

Waktu saya dengar tu, hati saya luluh, berkecai seribu. Kenapa? Mengapa? Terlalu banyak persoalan sampai tak terluah. Selama ni ayah jaga ibu dengan baik sampai tak pernah terlintas di fikiran saya soal ini. Saya kaku bila dengar. Wanita tu adalah nurse di hospitaI ibu.

Mulanya, bertanya khabar, mengagumi kebolehan suami menjaga isteri dan akhirnya wanita itu menjadi tempat ayah meluahkan penat lelah dia. Saya faham, ayah penat tapi tetap itu bukan alasan untuk dia curang. Ayah minta saya rahsiakan pada ibu.

Mana mungkin saya sanggup bagitahu ibu yang dah terlalu banyak beban di bahu. Waktu tu saya benci tengok ayah. Bagi saya ayah munafik yang pura-pura merawat isteri tapi di belakang berfoya-foya dengan wanita lain.

Mungkin terlalu bangga digelar sebagai suami mithali yang setia menjaga isteri. Saya perang dingin dengan ayah selama tiga bulan. Ibu perasan dan tiap kali ibu tanya, mata saya berair menahan tangisan. Setiap hari ibu make up untuk ayah, pakai rambut palsu tapi semuanya sia-sia ibu. Ayah curang.

Waktu pkpb rasanya, ayah bawa saya dan adik-adik keluar makan. Waktu tu, nenek ada datang ke rumah dan menjaga ibu. Mulanya saya ingat, ayah nak luangkan masa dengan kami sebab dah lama sangat kami tak keluar bersama-sama.

Lain yang jadi, sedang menunggu makanan, wanita tu sampai. Saya terdiam dan kaku. Hilang kata-kata. Melati dah berlari memeluk wanita itu. Perkara itu membuatkan saya lagi terkejut. Adam dan Idrees juga senyum sambil gelak ketawa melihat wanita tu. Cuma saya yang terkaku di situ.

Rupanya dalam diam ayah sudah sering membawa adik-adik saya berjumpa dengan wanita tu. Wanita tu saya namakan Bunga. Betul, dia nurse di hospital. Ayah renung lembut ke arah saya dan perlahan-lahan dia cakap yang dia akan berkahwin dengan Bunga lagi seminggu.

Saya hanya menunduk dan saya rasakan pipi saya hangat dengan air mata. Bunga hanya diam melayan adik-adik saya. Ayah kata, adik-adik perlukan kasih sayang seorang mak dan dia kata saya dah banyak berkorban. Ayah nak ringankan beban saya.

Waktu tu saya fikir, siapa ayah untuk tentukan semua benda. Saya yang pilih untuk korbankan hidup saya. Kalau saya sendiri pun ikhlas dengan keadaan tu, kenapa pula ayah perlu kesiankan saya? Kemudian saya lihat Melati yang duduk di atas riba Bunga.

Saat itu saya merasakan yang mereka semua pengkhianat. Ibu di rumah bermati-matian berjuaang untuk hidup. Tapi belum pun ibu ditelan bumi, mereka semua seolah-olah sudah menganggap ibu mati. Sampai hati semua orang buat ibu macam tu.

Kemudian saya pun berlalu pergi dan ayah mengejar. Saya tolak dan malam hari baru saya balik rumah. Yang ajaibnya, semua orang berlakon seperti tiada apa apa berlaku. Saya kecewa dengan semua benda. Saya tak bercakap dengan adik-adik saya walaupun saya tahu bukan salah mereka.

Apa yang terjadi masih disimpan sebagai rahsia. Tiada siapa tahu ayah berkahwin termasuklah nenek dan tok ayah. Siapa lah saya nak halang keinginan ayah maka saya tak pergi hari pernikahan tu. Saya hanya duduk di samping ibu, dan ketika itulah ibu cerita dekat saya kisah pertemuan dia dengan ayah.

Saya tengok wajah ibu berseri-seri bila bercerita. Kalau lah ibu tahu dan kalaulah ayah tengok muka ibu sekarang ni. Mungkinkah ayah akan berfikir fikir untuk kahwin lagi? Ibu cakap, dia tak pernah rasa kasih sayang ayah berkurang dan dia bersyukur dengan kesetiaan ayah walaupun keadaan dia sekarang teruk.

Kata ibu, bukan senang nak cari lelaki macam ayah. Ibu siap minta saya cari lelaki mirip ayah. Saya hanya tersenyum tawar. Hari-hari berjalan seperti biasa, ayah dengan kehidupan bermuka-muka dia. Kebajikan ibu masih dijaga dengan rapi.

Adik-adik hari cuti akan tidur di rumah Bunga. Ibu tak pernah tahu. Apa yang ibu tahu, ayah bawa adik-adik ikut ayah pergi training. Mereka balik awal pagi. Oh, ayah jarang tidur sekali dengan ibu. Kebiasaannya, ayah tidur di ruang tamu.

Sebab tu lah ibu tak perasan ayah tak ada. Saya lah yang tidur di sebelah ibu dengan alasan rindu ibu supaya ibu tak curiga. Waktu ni hubungan saya dengan ayah dah makin memburuk. Bulan mei atau jun 2021, kes c-19 naik mendadak disebabkan prn sabah tu. Ibu salah seorang mangsanya.

Bulan ogos 2021, ayah mulanya dijangkiti c-19 tapi dia tak sedar sebab simptom tak ada. Disebabkan imun badan ibu tak kuat. Waktu tu ibu macam semput dan terus dikejarkan ke hospital. Waktu tu oksigen ibu dah turun ke 85 peratus.

Waktu tu juga kami hanya dengar khabar daripada nurse yang call di hospital sebab kami sekeluarga kuarantin. Keesokkan harinya, Bunga telefon ayah bagitahu ibu akan ditidurkan sebab oksigen semakin rendah. Saya rasa dunia ni memang tak adil.

Ibarat jatuh ditimpa tangga. Disaat kanser ibu dah semakin membaik datang pula ujian lain. Kenapa ibu? Ibu manusia paling baik pernah saya jumpa. 4 hari lepas tu, doktor sahkan ibu meninggal dunia. Tahu tak apa yang lagi sedih?

Sebab kami tak dapat nak tengok jenazah ibu. Kami tak dapat nak pergi ke kubur. Saya hanya mampu menangis sambil peluk baju ibu. Bunga ada minta tolong kawan dia yang uruskan jenazah ibu untuk video call semasa pengebuumian ibu.

Saya hanya mampu pegang skrin telefon. Saya tak dapat pegang ibu untuk kali terakhir. Saya tak sempat nak minta maaf atas salah silap saya. Lepas habis video call saya dah tak sedar apa-apa. Bila saya buka mata, saya dah atas katil.

Saya hembus nafas lega. Saya mimpi rupanya. Saya turun bawah, ayah terkejut dan ayah cepat-cepat tanya saya okay ke tak. Saya dah pelik. Saya baik-baik saja, cuma mimpi buruk. Saya terus pergi bilik ibu dan saya tengok bilik ibu kosong.

Saya tanya ayah ibu mana? Ayah hanya terdiam dan adam yang peluk saya sambil bagitahu ibu dah tak ada. Jadi bukan mimpilah semua tu. Dah nak masuk 2 tahun kejadian ni, tapi masih segar diingatan. Sampai ke detik ini saya rasa bersalah dengan ibu sebab tak jujur.

Tapi dalam masa yang sama biarlah ibu pergi dengan tenang tanpa tahu apa-apa. Biarkan ibu pergi dalam keadaan yang ibu tahu ayah setia cintakan ibu. Hubungan saya dengan ayah masih janggal. Daripada rapat serapatnya kini kami seperti orang asing.

Saya tahu ayah berusaha membaiki hubungan kami tapi maaf sebab saya juga terluka dan perlukan masa untuk terima semua benda. Saya kini sedang sambung belajar sambil bekerja. Saya tinggal sendirian di rumah ibu. Ayah dan adik-adik duduk di rumah Bunga yang tidaklah begitu jauh dari rumah ibu.

Bunga bukanlah ibu tiri kejam sebab Melati sayang sangat dekat dia. Bunga juga sentiasa cuba berbuat baik kepada saya. Mungkin kalau ayah dan Bunga berkahwin setelah pemergian ibu, saya tidak akan membenci mereka seperti ini.

Saya membawa diri dan haluan terasing. Saya mengelak untuk berjumpa ayah dan adik-adik. Puasa dan raya juga sendiri. Duit belanja yang ayah kirim pun saya pulangkan semula. Mesej dari ayah juga saya abaikan. Adik-adik saya juga kelihatan bahagia sekali.

Mereka juga sudah tidak memerlukan khidmat saya. Saya selesa bersendirian. Mati juga sendiri, bukan? Puas nenek dan tok ayah memujuk untuk memaafkan ayah. Saya tahu ayah pembaca setia di ruangan ni. Kalau ayah baca cerita ni, saya nak bagitahu yang saya maafkan ayah dan saya tidak pernah berdendam. Saya cuma kecewa tentang banyak perkara.

Walaupun satu hari nanti kita berkumpul bersama, lompong itu tetap akan ada. Sekali sekala tolong bawa adik adik ziarah ibu supaya mereka tidak lupa senyuman ibu. Jangan bimbang, saya masih menghormati dan menganggap ayah sebagai seorang ayah.

Sampai masa saya pulang ke pangkuan ayah apabila rasa kopi ini bertukar gula. Semoga ayah dikurniakan kebahagiaan atas kepayahan menjaga ibu sebelum ni. Jaga diri dan adik-adik. Semoga berjumpa lagi. – Hana (Bukan nama sebenar)

Komen warganet :

Noriza Hassan : Takpe. Alhamdulillah sebab ayah awak menjaga ibu awk dengan baik. Ibu awak bahagia. Semoga ibu awk tenang di sana. Awak anak yang baik. Terima la ibu baru awak tu. Semoga Allah lembutkan hati awak untuk terima Bunga. Semoga Allah kurniakan keberkatan dalam hidup awak, gembira di samping ayah dan keluarga.

Arif Daniel : Tindakan si ayah merahsiakan perkahwinan tu betul.

1. Isteri tak mampu tunai tanggungjawab jadi poIigami dah termasuk hajat yang mendesak.

2. Suami tidak beritahu pada isteri pertama untuk jaga perasaan isteri juga faktor kesihatan.

3. Suami tetap jalankan tanggungjawab pada isteri pertama.

4. Izin isteri pertama bukan syarat poIigami.

5. Isteri pertama juga sudah meninggaI dunia jadi tiada timbul isu perbalahan dan pergaduhan pada masa akan datang.

BACA:

“Suatu hari, ada hamba Allah hubungi saya dan tanya kenapa saya biar isteri di usung orang merata tempat, rupanya..”