‘Allah Sebaik-Baik Perancang’ Fattah Amin kongsi amalannya selepas solat

Oleh ISMAIL YAHYA

Pelakon Fattah Amin berkongsi amalan zikir yang sering diamalkannya setiap kali selesai solat.

Fattah, yang nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin, menasihatkan para pengikutnya agar tidak meninggalkan amalan zikir selepas solat

. Dalam sesi siaran langsung di TikTok pada Sabtu, Fattah berkongsi bahawa beliau mengamalkan Zikir Tasbih Fatimah setiap kali selepas solat.

“Saya amalkan Zikir Tasbih Fatimah setiap kali selesai solat.

Jangan pernah tinggalkan zikir ini, dan selepas solat, jangan lupa untuk baca ayat al-Kursi serta sentiasa berdoa.

‘Allah Sebaik-Baik Perancang’

Ini adalah amalan saya setiap kali selesai solat,” kata Fattah.

Bersabar dalam Menghadapi Ujian

Selain itu, pelakon filem KL Special Force turut berpesan agar sentiasa bersabar dalam menghadapi segala ujian dari Allah SWT. Menurut Fattah, setiap ujian pasti ada hikmahnya.

“Apa pun yang kita lakukan, kita perlu bersabar dengan ujian dan dugaan.

Yakinlah bahawa setiap ujian yang diberikan pasti ada hikmahnya. Akan ada pelangi selepas hujan, dan akan ada sinar selepas langit mendung,” jelas Fattah.

Beliau turut menambah bahawa setiap kesulitan akan ada jalan keluarnya dan Allah sentiasa merancang yang terbaik untuk hamba-Nya. “Kalau kita merancang, ingatlah bahawa Allah adalah sebaik-baik perancang,” tambahnya lagi.

Ucapan Terima Kasih

Sebagai penutup, Fattah, yang merupakan bapa kepada seorang anak, menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua peminat yang telah memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepadanya.

“Terima kasih kepada semua yang memberi kata-kata semangat. Terima kasih juga kepada anda yang menonton sesi ‘live’ saya malam ini. Insya-Allah, sesi ‘live’ seterusnya saya akan lancarkan produk terbaru saya di TikTok.

Doakan yang baik-baik untuk kerjaya dan perniagaan saya, dan saya akan doakan supaya anda semua berjaya di dunia dan akhirat,” katanya.

Menurut tinjauan OhBulan!, sesi siaran langsung Fattah mendapat perhatian ramai dengan lebih 50,000 tontonan dan 26 juta tanda suka. Fattah juga memaklumkan bahawa beliau sedang dalam persiapan melancarkan perniagaan baharunya dalam masa terdekat.

Terdahulu, Fattah dan Fazura telah sah bercerai talak satu pada pukul 9.45 pagi, Isnin, di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh.

Fazura memfailkan permohonan cerai pada 13 September di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari. Mereka telah berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima, yang kini berusia 4 tahun.

BACA: Erra Fazira dipuji tak pernah buka aib bekas pasangan