Buah kurma mana boleh pesakit buah pinggang makan banyak, pegawai farmasi ini jelaskan sebabnya

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Buah kurma walaupun makanan sunnah tetapi rupanya tidak boleh dimakan berlebihan oleh pesakit buah pinggang.

Kandungan mineral dalam makanan yang dicari-cari umat Islam setiap kali tibanya bulan Ramadan ini tidak sesuai untuk golongan pesakit terbabit.

Ikuti penjelasan Pegawai Farmasi, Mohd Dziehan Mustapa daripada Medical Mythbusters Malaysia (M3) mengenai buah kurma yang terdiri daripada lebih 400 jenis di pasaran ini:

Buah kurma mana boleh pesakit buah pinggang makan banyak, pegawai farmasi ini jelaskan sebabnya
Buah kurma mana boleh pesakit buah pinggang makan banyak, pegawai farmasi ini jelaskan sebabnya

Buah kurma mengandungi phytonutrient, vitamin dan mineral yang diperlukan untuk fungsi normal tubuh dan kesihatan umum.

Kandungan utama mineral adalah; Potassium dan kandungan utama gula di dalamnya adalah; Glukosa dan Fruktosa

Pengambilan buah kurma secara berlebihan tidak bersesuaian untuk pesakit buah pinggang kerana kandungan garam potassiumnya yang tinggi. 100g buah kurma mengandungi 656mg potassium.

Walau bagaimanapun, buah kurma mengandungi kandungan garam sodium yang rendah. Maka tiada kesan mudarat yang ketara jika diambil oleh pesakit darah tinggi.

Garam mineral yang lain terkandung dalam buah kurma adalah seperti, kalsium, mangan, magnesium, fosforus, zinc dan copper.

Jika ada yang menyatakan makan kurma banyak pun tak mengapa sebab tidak akan menaikkan kandungan gula dalam darah tidak berapa tepat.

Ini kerana 100g buah kurma akan menyumbang jumlah tenaga sebanyak 277Kcal atau 14% RDI (Recomended Daily Intake) atau bersamaan dengan 2 senduk nasi minyak (150g).

Oleh itu, pesakit diabetes perlu berpada-pada dalam pengambilan buah kurma ketika Ramadan ini.

Cukup sekadar sebiji, dua semasa berbuka puasa untuk memberikan sumber tenaga segera kepada tubuh.

Selain daripada mengandungi kandungan mineral dan gula, buah kurma juga mengandungi kandungan ‘dietary fiber’. Fiber ini boleh membantu dalam melawaskan pencernaan seperti ‘laxative’.

Buah kurma juga mengandungi kandungan besi (iron). 100g buah kurma akan mengandungi 0.90mg zat besi atau 11% RDI Seperti yang semua sedia maklum, zat besi adalah komponen hemoglobin yang terdapat dalam sel darah merah kita.

Haemoglobin diperlukan untuk mengangkut oksigen dalam darah.

Untuk kandungan vitamin pula, buah kurma mempunyai sedikit Vitamin A. Untuk setiap 100gm buah kurma akan mempunyai 149 IU atau 5% RDI Vitamin A.

Vitamin A juga bagus untuk penglihatan dan kesihatan kulit. Selain daripada itu buah kurma juga mengandungi kandungan yang sederhana untuk kumpulan Vitamin B kompleks dan Vitamin K.

Melihat kepada pelbagai khasiat buah kurma ia adalah sesuai untuk dimakan oleh segenap lapisan umur.

Tua, muda, wanita mengandung mahupun menyusukan kanak-kanak. Kesan alahan terhadap buah kurma jarang berlaku jika dibandingkan dengan jenis kekacang.

Walau bagaimanapun pengambilan buah kurma ini perlu berpada-pada. Jangan banyak sangat.

Kadang-kadang tidak sedar kerana kesedapan buah kurma menyebabkan kita menyuap satu lepas satu tanpa sedar.

Lebih berhati-hati lagi bagi pesakit yang mempunyai masalah buah pinggang.

Saya ucapkan Selamat Berpuasa. Jangan risau, sehingga hari ini tiada interaksi buah kurma dengan pengambilan ubat-ubatan direkodkan.

Berbukalah dengan buah kurma mengikut sunnah Nabi. Bersederhana dalam pengambilannya dan pengambilan makanan ketika berbuka puasa.

Selamat Menyambut Bulan Ramadan Yang Mulia
Pegawai Farmasi Anda
Mohd Dziehan Mustapa
Medical Mythbusters Malaysia (M3)

Baca :

Angin punca jadi slow, jom DIY sendiri paip air di rumah

“Cuma aktifkan bila perlu” – Individu kongsi tips yang boleh menjimatkan elektrik di rumah

Afieq Shazwan isi ‘kekosongan’ Raja Pop di pentas juara lagu