Cara turunkan berat badan di bulan Ramadan, ini tips berbuka puasa wajib anda amal

Oleh AHMAD BADRUL

Bukan satu perkara mustahil dilakukan untuk menurunkan berat badan di bulan Ramadan tetapi dengan syarat kena tahu caranya.

Yang penting, waktu berbuka jangan sampai lupa dunia apa lagi ketika singgah pula di bazar Ramadan.

Ikuti tips berbuka puasa untuk menurunkan berat badan yang dikongsikan Faizal Saedon ini:

Cara turunkan berat badan di bulan Ramadan, ini tips berbuka puasa wajib anda amal
Cara turunkan berat badan di bulan Ramadan, ini tips berbuka puasa wajib anda amal

Sebelum saya kongsikan tips berbuka saya nak berikan dulu kefahaman yang perlu kalian ada untuk kalian berjaya mengawal pemakanan dalam bulan yang penuh mencabar ini.

2 asas paling penting ialah:

1. Berpuasa sahaja tidak akan menyebabkan berat badan kalian turun. Yang paling penting adalah mengawal pemakanan semasa sepanjang sahur dan berbuka.

2. Jangan berbuka dengan perasaan balas dendam sebab daripada pagi tidak makan. Kawal nafsu dan keinginan kalian. Inilah faktor terbesar kejayaan mengawal pemakanan.

Jom kita ke topik kita hari ni. 5 tips makan ketika berbuka untuk turunkan berat badan:

1. Berbukalah dengan air kosong dan beberapa biji kurma atau buah-buahan. Ini bukan sahaja bagus untuk tubuh mengatur balik fungsi dalaman seperti peredaran darah. Tapi ia juga memberi impak penuh dalam perut untuk kita mengawal selera makan menu-menu lain.

2. Panjangkan tempoh makan. Jangan makan semua hidangan dalam satu masa yang cepat. Contohnya, selepas berbuka dengan air kosong dan buah, berhenti sekejap. Sebaiknya solat maghrib dulu.

Tips ini sangat membantu mengawal selera makan kita kepada menu-menu seterusnya nanti.

3. Elakkan minum air manis, air tular yang akan timbul nanti. Dengan tips ini kalian mampu jimat 200-600 kalori. Ya, ada minuman yang mengandungi kalori sehingga lebih 600 kalori, contohnya air teh Boba gula hitam.

Tolonglah, jauhkan/kurangkan minuman manis untuk bulan ini. Tak boleh lansung ke? Jawapan saya, terpulang. Kalau boleh elak, kalau tak dapat, kawallah pengambilannya. Minum seteguk dua sahaja untuk lepaskan rasa tu.

4. Kuih muih dan dessert akan jadi halangan ramai orang dalam sesi berbuka puasa. Kawal nafsu. Makanlah tapi kawal. Berapa banyak? Tipsnya hadkan 1 jenis sahaja setiap hari berbuka.

Jangan beli pelbagai jenis. Kalau di Kelantan masa puasa akan ada kuih jala mas, taik itik dan kuih buah tanjung, ia khas ada masa bulan Ramadan. Beli satu jenis saja setiap hari. Dan nikmatilah seserdehana mungkin.

5. Menu utama amalkanlah makan dengan konsep suku suku separuh. Lebihkan sayuran dan protein dan kawal pengambilan karbohidrat.

Ini bukan sahaja mengawal kemasukan kalori masuk tapi mencukupkan keperluan nutrisi dalam badan. Tolonglah ambil sayuran yang lebih dalam menu berbuka kali ini.

Apapun 5 tips ni adalah saranan yang baik untuk diamalkan bagi menurunkan berat badan. Tapi untuk membiasakan diri dengan tabiat baru semestinya memerlukan tekad dan masa.

Jadi, jika cubaan kalian gagal pada hari hari pertama jangan terus berputus asa. Baiki pemakanan kalian sedikit demi sedikit.

Insyaallah dalam masa 30 hari berpuasa kalian akan selesa dengan tabiat baru nanti.

Baca :

Awas jika terkena sengatan obor-obor, boleh cuci guna air suam suhu 40 darjah Celsius

Buat sendiri tapai pulut manis & berair, boleh makan berkali-kali

Buat sendiri kuih tart nenas sandwich kiub, jimat duit & boleh makan banyak