Didakwa keras bertindak terhadap GISBH, Shuhaily balas kenyataan Tun M

Oleh NADIA HARON

Dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa polis dan kerajaan bertindak terlalu ‘keras’ untuk melumpuhkan

operasi Global Ikhwan Services and Business Holding (GISB) Bhd adalah tidak tepat, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Dalam satu sidang media khas di ibu negara pada Khamis, beliau menyatakan bahawa tidak wajar untuk membandingkan

Tindakan polis terhadap GISB dengan tindakan terhadap Al-Arqam yang berlaku pada tahun 1994, kerana peruntukan undang-undang yang berbeza.

“Pada tahun 1994, kita mempunyai undang-undang pencegahan yang membolehkan kita tidak perlu melalui sistem kehakiman.

Didakwa keras bertindak terhadap GISBH, Shuhaily balas kenyataan Tun M

Kini, semua tangkapan dibawa ke sistem perundangan terbuka, di mana kita perlu mencari bukti, dan prosedur itu adalah sangat telus.

“Pihak polis menguatkuasakan undang-undang berdasarkan peruntukan yang ada untuk kami kuatkuasakan. Dalam konteks ini, apa yang kita lihat adalah adanya elemen penganiayaan dan pengabaian yang wujud untuk digunakan dalam memajukan perniagaan mereka,” katanya.

Mohd Shuhaily juga menjelaskan bahawa adalah tanggungjawab pihak polis untuk membuktikan berlakunya perlakuan penganiayaan dalam perniagaan yang dijalankan oleh GISB.

Dr Mahathir, yang juga bekas Perdana Menteri, dalam wawancara khas dengan media sebelum ini, berpandangan bahawa tindakan ‘keras’ kerajaan seolah-olah bertujuan untuk menghapuskan organisasi tersebut, bukannya membetulkan apa yang salah.

Beliau menyatakan bahawa GISB merupakan sebuah syarikat berjaya yang beroperasi di 20 negara, dan tindakan polis seolah-olah menghukum semua individu yang terlibat, sama ada mereka bersalah atau tidak.

Namun, Mohd Shuhaily berkata terdapat bukti, seperti yang dinyatakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, bahawa operasi perniagaan GISB cuba dimudahkan dengan kefahaman Aurad Muhammadiah, yang telah difatwakan sebagai ajaran sesat sebelum ini.

“Jadi di sini, saya harap dapat menerangkan bahawa konteks masa dan undang-undang pada satu ketika dahulu berbeza dengan hari ini; segalanya adalah telus. Biarkan proses undang-undang mengambil tempatnya. Itulah proses yang ada.

“Proses perundangan kita semakin matang, dan harapan saya adalah masyarakat di luar sana memahami proses tersebut.

Pihak polis menyiasat, dan tanggungjawab kami adalah untuk mencari segala bukti untuk dibawa ke pihak pendakwa raya, yang akan mengkaji dan mengesyorkan tindakan selanjutnya,” katanya.

BACA:Menteri dedah keadaan terkini kanak-kanak GISBH yang telah diselamatkan ramai nak tahu