Gajah pun nak pandai terjah rumah orang, nak ‘beraya’ kot? Undang reaksi netizen

Oleh GEMILANGDAILY

Gajah pun nak pandai terjah rumah orang, nak ‘beraya’ kot? Undang reaksi netizen. HABITAT bagi haiwan liar umumnya di kawasan hutan tebal dan jauh daripada penempatan manusia.

Namun disebabkan kerakusan manusia, habitat tersebut terganggu dan haiwan liar mula mencari tempat baharu untuk mencari makanan serta berlindung.

Disebabkan itu, kita sering membaca berita haiwan liar seperti gajah dan harimau yang sudah mula kelihatan di kawasan penempatan manusia.

Gajah pun nak pandai terjah rumah orang, nak 'beraya' kot? Undang reaksi netizen

Tempat tinggal yang telah diteroka menyebabkan haiwan tersebut terpaksa keluar ke kawasan lain.

Dalam kejadian minggu lalu, penduduk di Taman Sri Lambak, Kluang, Johor, gempar dengan kehadiran dua ekor gajah yang bertindak merempuh masuk ke halaman rumah.

Kejadian mamalia terbesar darat itu masuk ke kawasan taman perumahan berkenaan sempat dirakam penduduk sebelum ia tular di media sosial.

Walaupun hanya pagar rumah dirosakkan dan tidak melibatkan nyawa orang ramai, namun ia sudah cukup membuatkan penduduk di kawasan berkenaan diselubungi ketakutan dan sentiasa berwaspada, lebih-lebih lagi pada musim perayaan.

Bukan sahaja gajah, malah harimau juga sudah mula ‘menunjukkan belangnya’ di kawasan penduduk.

Jika dahulu hanya kedengaran Orang Asli yang terserempak dengan pak belang tetapi kini haiwan itu memunculkan ‘diri’ di kawasan kampung.

Kejadian yang berlaku di Paka, Terengganu pada Mei tahun lalu cukup mengejutkan penduduk yang terlihat kelibat harimau belang sedang berkeliaran di kawasan bukit.

Malah, pada hujung April pula, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor telah mengesahkan tapak kaki haiwan liar yang ditemukan di kebun kelapa sawit di Felda Ulu Tebrau, Johor Bahru, dipercayai tapak kaki harimau.

Menurut Pengarah Perhilitan Johor, Aminuddin Jamin, pihaknya sudah melakukan pemeriksaan dan menjalankan pemantauan selepas menerima laporan penemuan bangkai binatang ternakan di kebun kelapa sawit di kawasan tersebut.

Pengesahan itu dibuat berdasarkan pemeriksaan awal Perhilitan, namun pihaknya turut memasang perangkap kamera bagi mengesahkan kehadiran haiwan liar.

Kes-kes melibatkan haiwan liar yang keluar dari habitat asalnya menunjukkan hutan tebal telah diteroka dengan sangat berleluasa dan tidak sistematik.

@akubudakluang Setiap Malam Rumah Penduduk Di Taman Sri Lambak Akan Menerima Kunjungan Gajah. #AkuBudakKluang #ABK ♬ bunyi asal – AKU BUDAK KLUANG

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Profesor Dr Ahmad Ismail berkata, sesetengah haiwan liar memerlukan kawasan luas untuk mencari makanan dan sebagai kawasan ‘wilayah’ haiwan tersebut.

Dakwa Ahmad, penerokaan hutan yang tidak sistematik menyebabkan saiz hutan semakin mengecil, kewujudan kepulauan hutan dan habitat berdekatan dengan penempatan manusia memberi kesan kepada kawasan rayau bagi haiwan liar sehingga ia terpaksa memasuki kawasan penempatan manusia.

Malah, kumpulan alam sekitar Rimba Disclosure Project (RDP) pada April tahun lalu turut mendakwa sekurang-kurangnya 72,584.73 hektar (ha) hutan di Semenanjung Malaysia atau hampir seluas Singapura didakwa akan dimusnahkan dalam masa terdekat.

Pendedahan itu dibuat dalam satu pengumpulan data pada 2021, dalam usaha untuk memantau aktiviti berkaitan penebangan hutan di Semenanjung Malaysia.

Kesan penerokaan hutan bukan sahaja memusnahkan ekosistem flora dan fauna, malah boleh menyebabkan bencana seperti banjir ke kawasan penempatan penduduk.

Diharap penerokaan hutan secara berleluasa dapat dihentikan bagi mengelak bencana dan habitat haiwan liar terjejas.

Walaupun hutan diteroka untuk membangunkan sesebuah kawasan, namun jika ia dilakukan secara meluas dan tidak terkawal, dikhuatiri ia hanya mengancam habitat haiwan liar yang ada. Haiwan tersebut berhak untuk mendapat tempat tinggal yang sesuai demi ‘keturunannya’.

Jangan sampai generasi akan datang hanya dapat melihat haiwan seperti gajah dan harimau di zoo atau internet kerana kesilapan kita yang membiarkan habitat tersebut pupus akibat kerakusan manusia sendiri.

BACA: 

“Sebelum ini aku pernah intai, tapi tak dapat tengok, sekali aku dapat buka hp suami, rupanya suami buat onar belakang aku!”

“Suami bangun dan terkejut kenapa, aku cakap ‘kaulah laki paling babi aku pernah kenal!’, bila aku tunjuk bukti, dia hanya mampu diam”