“Hina sangat ke kerja rider?” – Lelaki sedih pelanggan campak wang ke muka

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

MENCARI rezeki sebagai pekerja servis penghantaran bukan satu tugas yang mudah.

Walaupun kelihatan mudah di mata orang ramai, namun hakikatnya pelbagai cabaran dan kesukaran dihadapi golongan itu ketika bekerja.

Selain soal keselamatan di jalan raya, mereka juga terdedah dengan gangguan emosi ketika berurusan dengan pelanggan.

"Hina sangat ke kerja rider?" - Lelaki sedih pelanggan campak wang ke muka

Terpalit dengan situasi sama, seorang rider dikenali sebagai Mohd Yusmadi menceritakan pengalamannya dihina oleh seorang pelanggan, baru-baru ini.

“Betapa hinanya aku di matamu.

“Memang ada orang pandang rider ni jijik ya?” luahnya dalam hantaran yang tular di Facebook.

Dalam posting yang sama, Yusmadi berkata dia berdepan situasi itu ketika menghantar barang sewaktu hujan lebat.

Dakwanya, pelanggan itu bertindak mencampak wang kertas RM5 kepadanya kerana tidak mahu terkena hujan.

“Semalam hantar barang dalam hujan lebat, pakai raincoat (baju hujan) pun basah lencun luar dalam.

“Kita hantar barang dia dalam hujan lebat ni. Nak bayar duit, dia lempar atas tiang je sebab tak nak terkena tangan kita yang basah ni,” jelasnya lagi yang kecewa dengan sikap pelanggan.

Sebagaimana gambar dikongsikan Yusmadi, kelihatan sekeping wang kertas RM5 berada di lantai.

Walaupun pilu dan sedih diperlakukan sedemikian, dia yang merupakan seorang bapa tetap mengambil wang tersebut kerana memikirkan ia merupakan sumber rezeki untuk menyara keluarga.

Mungkin orang tu tak boleh kena hujan, ada pahala tu… sabar ye.

“Kenang muka anak-anak, nak beli lauk dekat pasar esok.

“Abah mereka ni rendahkan harga diri kutip juga duit yang ditiup angin jatuh ke lantai,” katanya lagi.

Dalam posting yang dikongsikan semula oleh Wa Fans, ramai yang meluahkan rasa simpati terhadap apa berlaku kepada Yusmadi.

Malah, ada juga netizen yang memberikan kata-kata semangat kepadanya supaya kembali bersemangat untuk bekerja demi menyara keluarga.

“Bersabarlah demi sesuap nasi. Ingat rezeki kita sudah halal. Tengok nanti keangkuhan dia tak ke mana.

“Semoga tuan dimurahkan rezeki seperti sungai yang mengalir. Mungkin orang tu tak boleh kena hujan. Ada pahala tu… sabar ye.

“Biarlah bang. Semoga apa yang dibuat pada abang akan dibalas balik Allah. Semoga rezeki abang akan bertambah dan dipermudahkan segala urusan,” komen netizen.

Baca juga:  Bekas GRO cerita pengalaman pernah kena paksa tidur dengan 20 lelaki dalam satu malam