Jimat duit bila dah tahu buat pewangi sendiri, ini rahsianya

Oleh ISMAIL YAHYA

Bau wangi semerbak menyapa apabila pulang setelah penat bekerja pastinya membuatkan ‘rumahku menjadi syurgaku’. Namun, tidak semua yang sanggup mengeluarkan wang untuk membeli sebekas kecil pewangi yang hanya bertahan beberapa minggu.

Jangan sedih, jangan kecewa. Kali ini, SK kongsikan cara membuat pewangi bilik dengan modal beberapa ringgit sahaja. Selain berfungsi sebagai pewangi bilik, boleh juga dijadikan sebagai penghalau nyamuk.

Ikuti perkongsian dari laman Facebook Recipes Learn ini.

Jimat duit bila dah tahu buat pewangi sendiri, ini rahsianya

Pewangi bilik buatan sendiri ini hanya perlukan beberapa bahan yang boleh didapati di kedai runcit.

Anda perlu sediakan sebiji limau nipis untuk jadikan satu set. Anda boleh juga sediakan beberapa biji lagi untuk setiap ruang seperti ruang tamu, bilik tidur dan bilik mandi.

Sediakan pula satu bekas plastik bersaiz kecil, lebih kurang saiz limau nipis tadi. Kemudian, anda perlukan dua sudu makan garam kasar dan satu sudu makan cuka alkohol. Cuka alkohol boleh juga digantikan dengan cuka putih.

Itu sahaja bahan yang diperlukan.

Cara mudah buat pewangi bilik

Bagi menyediakan satu set pewangi bilik, ambil sebiji limau nipis dan belah empat.

Pastikan anda tidak belah limau nipis tadi hingga habis. Cukup sehingga limau nipis dapat dibuka dan membentuk seperti sekuntum bunga.

Setelah itu, letakkan limau nipis dalam satu bekas plastik. Kemudian, taburkan dua sudu makan garam kasar dan satu sudu makan cuka putih. Dah siap.

Cukup dengan beberapa bahan ini, set pewangi buatan sendiri anda sudah mula menyebarkan bau wangi sitrus di segenap ruang.

Anda boleh juga pelbagaikan haruman dan kegunaan pewangi tadi.

Dengan meletakkan sedikit cecair pelembut fabrik, tiada lagi bau yang kurang menyenangkan. SK cadangkan set ini diletakkan di bilik mandi memandangkan baunya yang agak kuat.

Nak halau nyamuk tetapi tak mahu pasang ubat nyamuk sampai berasap satu rumah?

Gunakan set pewangi yang anda siapkan tadi. Cuma tambah bunga cengkih, dan letak di ruang tamu atau bilik tidur.

Walaupun begitu, penting untuk anda tahu fakta ini. Menurut satu kajian, penggunaan bunga cengkih terbukti tidak berkesan bagi spesis nyamuk Aedes. Nyamuk spesis ini boleh membawa penyakit berbahaya seperti denggi, chikungunya dan Zika.

Jika rumah atau kawasan anda berisiko tinggi mendapat denggi, sila pastikan anda mengikut panduan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sumber: Facebook Recipes Learn, National Institute of Health

BACA: Netizen terkejut tengok Datuk Red cium Adira walaupun dah cerai