Kalau risau BMI ‘meletup’, cuba nilai gelojoh tak masa makan, rupanya ini 5 kesan buruk akibat jadi pelahap

Oleh ZULQARNAIN ISMAIL

Jika anda risau indeks jisim tubuh (BMI) ‘meletup’ dengan nilai melebihi 25 mata, patut fikirkan kembali bagaimana cara anda semasa makan.

Rupanya ini 5 kesan buruk akibat jadi pelahap sehingga diri gagal mencapai angka BMI ‘normal’ antara 18.5 dan 24.9.

Mengikut ‘Hello Doktor’, ini 5 kesan buruk makan gelojoh yang mungkin boleh diubah sempena bulan Ramadan ini:

Kalau risau BMI 'meletup', cuba nilai gelojoh tak masa makan, rupanya ini 5 kesan buruk akibat jadi pelahap
Kalau risau BMI ‘meletup’, cuba nilai gelojoh tak masa makan, rupanya ini 5 kesan buruk akibat jadi pelahap

1. Berat Badan Bertambah / Obesiti

Mungkin kita fikir, mengapa orang memilih untuk makan dengan cepat adalah kerana ingin menghemat masa. Tetapi, apa hubungannya dengan obesiti?

Kajian menunjukkan bahawa orang yang makan dengan cepat cenderung untuk tidak merasa kenyang, yang akhirnya menyebabkan kita makan lebih banyak.

Ini berlaku kerana sistem pencernaan kita secara semulajadi memberi isyarat kepada otak untuk berhenti makan – tetapi jika kita makan terlalu cepat, isyarat tersebut tidak sempat sampai ke otak.

Jadi, kita mungkin fikir kita masih lapar, padahal kita sudah makan melebihi keperluan badan. Kesan jangka panjang, anda mungkin berisiko mengalami obesiti atau kelebihan berat badan.

2. Gangguan Pencernaan

Apabila anda makan terlalu cepat, kebiasaanya mulut tidak dapat mengunyah makanan dengan betul sebelum menelannya.

Ini boleh menyebabkan sistem pencernaan kita mengambil masa yang lebih lama untuk mencerna makanan dalam usus – dengan kata lain, sistem pencernaan kita perlu bekerja lebih keras.

Biasanya, apabila makanan tidak dicerna dengan baik, ia akan tinggal dalam usus tanpa diserap, meninggalkan toksin dalam badan kita.

Disebabkan itu, anda mungkin akan mengalami sakit perut secara kerap.

3. Masalah Jantung

Satu kajian jangka panjang telah dijalankan terhadap 1,000 orang dewasa yang sihat untuk mengkaji cara makan mereka dan kesannya terhadap kesihatan.

Kajian itu dilakukan oleh seorang pakar jantung bernama Dr. Takayuki Yamaji dari Universiti Hiroshima.

Kerana kait rapat dengan sindrom metabolik (rujuk point ke-4), orang yang makan dengan cepat lebih cenderung mengalami masalah jantung dan strok dalam jangka masa panjang.

4. Pedih Ulu Hati/ Gastrik

Penyakit pedih ulu hati atau gastritis boleh berlaku apabila anda makan terlalu cepat kerana makanan masuk ke dalam perut dengan cepat, menyebabkan makanan yang sudah ada tidak sempat turun ke dalam usus.

Ini boleh menyebabkan makanan baru yang dimakan “dorong” naik ke atas dan menimbulkan rasa pedih dan sakit di bahagian dada.

Selain itu, kita juga mungkin merasa mual, loya, dan sakit dada. Lebih teruk lagi, jika ia berterusan, ia boleh menyebabkan luka pada kerongkong kita.Jadi, janganlah makan dengan terlalu cepat walaupun lapar selepas seharian berpuasa!

5. Punca Pelbagai Penyakit

Sindrom metabolik adalah istilah perubatan untuk sekumpulan penyakit yang sering dikenali sebagai ‘penyakit tiga serangkai’, iaitu tekanan darah tinggi, kencing manis, dan penyakit jantung koronari.

Ia juga boleh merujuk kepada dua penyakit tambahan, iaitu obesiti dan trigliserida.

Sindrom metabolik ini berkait rapat dengan masalah gula dalam darah dan gaya hidup yang tidak sihat – salah satunya ialah cara kita makan.

Untuk dikenal pasti sebagai pesakit sindrom metabolik, biasanya seseorang itu perlu mengalami sekurang-kurangnya tiga daripada lima masalah kesihatan tersebut.

Difahami bahawa sekumpulan penyakit ini boleh membawa kepada masalah kesihatan seterusnya seperti masalah jantung dan strok.

Oleh itu, gantikan amalan ‘makan dengan banyak, dengan cepat’ kepada ‘makan sedikit, dengan perlahan’ bagi memberi ruang untuk pencernaan yang baik.

Dengan makanan yang sedikit, kita akan mengunyah lebih banyak, dan ini mengurangkan beban badan kita.

Fokuslah pada makanan dan kurangkan gangguan di sekeliling.

Baca :

Rebut pahala berganda, ustazah Asma’ kongsi tips penting yang perlu buat untuk tempuh bulan suci

Elak tertipu! Fahami dan kenal pasti terlebih dulu penipuan pelaburan

Tercari-cari cara jimatkan duit? 3 benda ini rupanya banyak terbangkan gaji anda