Lelaki kongsi banyak hadiah mewah termasuk duit RM28k sertai peraduan setiap hari

Oleh AHMAD YUSOF MUSTAPHA

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Berkat kesungguhan menyertai pelbagai peraduan sejak usia remaja, seorang bapa dilimpahi dengan pelbagai hadiah mewah.

Hidayat Masduki berkata, hadiah paling mahal yang pernah dimenanginya sepanjang menyertai peraduan adalah sebuah kereta Perodua Axia dan wang tunai RM28,888.

Selain itu, dia juga pernah memenangi hadiah pakej pelancongan VIP ke Tokyo, Jepun bernilai RM20,000.

Memetik laporan Harian Metro, Hidayat, 38, akan memastikan dia menyertai sekurang-kurangnya satu peraduan setiap hari supaya sasarannya tercapai setiap bulan.

Lelaki kongsi banyak hadiah mewah termasuk duit RM28k sertai peraduan setiap hari

Usaha anak jati Gombak, Selangor itu nyata berbaloi kerana menerusi peraduan, Hidayat berpeluang merasai limpahan rezeki yang lumayan.

Hidayat pernah memenangi pelbagai pakej percutian ke luar negara, barangan peralatan elektrik rumah bernilai puluhan ribu, gajet canggih termasuk telefon pintar iPhone edisi 11, 12, 13, 14, 15; Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bernilai RM50,000 dan banyak lagi.

Katanya, dia juga pernah mendapat hadiah enam mesin basuh dan ada yang diberikan kepada ahli keluarga yang memerlukan.

“Saya anggap semua itu rezeki anak-anak kerana anak sulung saya diuji dengan masalah jantung berlubang.

“Sebagai ayah, saya hanya menumpang rezeki mereka sahaja,” katanya lagi seperti dilapor.

Baca juga:Menang 500 cabutan bertuah setahun, wanita ini dedah teknik pasti menang cabutan