Lelaki saksi anak kucing bertarung nyawa dibaling dari atas pangsapuri

Oleh ISMAIL YAHYA

Walaupon bukan binatang peliharaan sendiri, namun menyaksikan seekor anak kucing mati di depan mata merupakan sesuatu yang sangat menyedihkan.

Lebih-lebih lagi apabila cara binatang berkenaan mati sungguh tragis, iaitu dibaling dari tingkat atas sebuah pangsapuri.

Begitulah kisah yang dialami seorang pemuda. Hanya mahu dikenali sebagi Kid,

Lelaki saksi anak kucing bertarung nyawa dibaling dari atas pangsapuri

lelaki ini tidak menyangka menjadi saksi detik-detik terakhir seekor anak kucing bertarung nyawa untuk hidup gara-gara perbuatan kejam manusia.

Berkongsi cerita, Kid berkata, dia pada mulanya tidak menyangka apa yang jatuh di laluan motosikal berhampiran unit pangsapurinya merupakan seekor binatang.

“Ketika itu lebih kurang jam 1 tengah hari, dan saya sudah mahu keluar ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

“Ketika mahu keluar, saya terperasan ada dua budak lelaki sedang bermain di koridor tingkat dua, berhadapan dengan rumah saya. Sewaktu menuju ke tempat parking motosikal di tingkat bawah, tiba-tiba ada benda jatuh di hadapan.

“Ingatkan lampin pakai buang bayi. Tapi bila saya menghampirinya, alangkah terkejutnya saya apabila mendapati ia adalah seekor anak kucing,” katanya.

Dia kemudiannya mengangkat anak kucing itu dan meletakkannya di tepi laluan berkenaan.

“Pada ketika itu, serta merta terus sebak kerana anak kucing itu masih bergerak sedikit. Ia dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

Sangat sedih melihat anak kucing itu ‘struggle’ untuk hidup,” kata lelaki berusia lingkungan usia 20-an ini.

Tanpa melengahkan masa, Kid berkata dia terus menuju ke tingkat dua, lokasi dua budak lelaki yang dilihatnya bermain sebentar tadi, kerana mengesyaki mereka mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan.

“Apabila menghampiri mereka, saya terus bertanya apa yang sudah mereka lakukan, tapi tidaklah saya marah. Mereka sebaliknya hanya diam sahaja dan seperti takut.

Saya tak tahu sama ada mereka sengaja baling, atau terbaling. Saya membawa salah seorang daripada mereka untuk bertemu ibunya.

“Saya sekadar memberitahu kepada ibu salah seorang budak lelaki itu, dan kemudian terus berlalu kerana bimbang terlewat untuk ke masjid. Namun saya dapat mendengar wanita itu memarahi anaknya,” katanya lagi.

Kid berkata, ketika dia kembali semula ke lokasi anak kucing tersebut, seorang jirannya sedang mengangkat dan membawanya ke satu kawasan lapang.

“Rupa-rupanya anak kucing itu sudah mati. Kami berdua tanam ia di satu kawasan tanah lapang berhampiran sebuah blok pangsapuri,” ujarnya.

Menurut Kid lagi, dia memuat naik video berkenaan sebagai perkongsian semata-mata kerana mahu menyampaikan mesej supaya ibu bapa memupuk sifat cintakan haiwan dalam diri anak-anak mereka sedari kecil.

“Sekarang ni banyak kes pelik-pelik membabitkan kanak-kanak. Jadi sebagai ibu bapa, pupuklah sifat cintakan haiwan dalam diri anak-anak, dan dalam masa yang sama, pantau pergerakan mereka,” akhirinya.

Terdahulu, perkongsian lelaki tersebut begitu meruntun hati netizen yang menyifatkan perbuatan sedemikian sebagai sesuatu yang sangat kejam.

BACA : “Depa toreh bag dengan pisau”, pemuda ini kongsi macam mana nak kenal ‘scammer’ di Mekah