Menang 500 cabutan bertuah setahun, wanita ini dedah teknik pasti menang cabutan

Oleh KAMARUL HISHAM ABDULLAH

Seorang wanita di Jepun mendakwa telah memenangi kira-kira 500 cabutan bertuah menerusi pelbagai acara dalam tempoh setahun.

Menurut South China Morning Post, hadiah terkumpul yang dimenangi oleh wanita tersebut dianggarkan bernilai kira-kira RM300,140.

Digelar sebagai Ratu Bertuah, Kanae Hirayama baru-baru ini berkongsi rahsia kejayaannya menerusi

satu program televisyen Jepun, I Will Make You Happy: The Queen Teaches You Winning Techniques.

Dalam program itu, Hirayama mendedahkan bahawa lebih separuh daripada barangan di rumahnya diperoleh melalui cabutan bertuah atau undian kemenangan.

Menang 500 cabutan bertuah setahun, wanita ini dedah teknik pasti menang cabutan

Difahamkan, adalah perkara biasa bagi perniagaan di Jepun untuk menjalankan undian atau cabutan bertuah secara dalam talian dan menggunakan hadiah sebagai strategi pemasaran.

Menurut Hirayama, antara hadiah-hadiah yang pernah dimenanginya adalah periuk, kotak bento, cawan, mainan kanak-kanak, bola yoga, dan juga makanan ringan.

Selain itu, dia juga pernah memenangi beberapa hadiah mahal seperti ketuhar bernilai 70,000 yen (RM2,030) dan penapis air berharga 100,000 yen (kira-kira RM2,900).

Menjelaskan strategi yang digunakan, Hirayama berkata adalah sangat penting untuk mendaftar secepat mungkin dengan tarikh tutup penyertaan.

“Banyak (penganjur) menggunakan proses pemilihan manual. Jadi, semakin cepat penganjur melihat nama anda, semakin tinggi peluang untuk menang,” jelas Hirayama.

Dia juga menekankan kepentingan masa, di mana dia mengutamakan pertandingan yang diadakan pada awal dan hujung tahun.

Katanya, orang ramai lebih sibuk pada dua tempoh ini, yang seterusnya menyebabkan skala penyertaan mungkin rendah dan meningkatkan peluang kemenangannya.

Namun, Hirayama menegaskan bahawa ketekunan adalah aspek paling utama yang menentukan kemenangan seseorang.

Dia akan bangun pada pukul 6 pagi setiap hari untuk menyediakan sarapan untuk keluarganya. Kemudian, dia akan mencari pelbagai pertandingan cabutan bertuah dalam talian dan mencatat kemas kini dengan teliti dalam buku nota.

Secara purata, dia akan mendedikasikan kira-kira empat jam setiap hari untuk menyertai atau menyiapkan diri dalam cabutan bertuah.

Pendedahan yang dibuat oleh Hirayama telah menarik perhatian warga maya dan rata-rata mereka berterima kasih atas perkongsian yang dibuat oleh wanita tersebut.

BACA: ‘Nama je bank islam tapi macam bank kafir’ Peniaga bengang internet banking bank islam lembab