“Mohon maaf kepada..” – Peniaga terpaksa jual mahal kerana harga barang mentah naik

Oleh AHMAD BADRUL

Kenaikan harga bahan mentah menyebabkan kebanyakan peniaga di Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) terpaksa menaikkan harga makanan yang dijual.

Tinjauan BH hari ini menunjukkan bahawa peniaga terpaksa menaikkan harga makanan sekitar RM1 hingga RM2.

Contohnya, peniaga murtabak seperti Suhaimi Ahmad, 54 tahun, mengatakan dia terpaksa menaikkan harga murtabak yang dijual dari RM5 kepada RM7.

“Harga bawang hari ini meningkat sehingga RM7 sekilogram (kg). Selalunya kita gunakan bawang India tetapi hari ini bawang tersebut sudah tiada lagi di pasaran.

“Murtabak menggunakan bawang yang banyak. Dulu kami menghadapi masalah kekurangan telur. Inilah antara masalah yang dihadapi peniaga hari ini,” katanya ketika ditemui BH.

Suhaimi menyatakan bahawa dia telah memberitahu pembeli sejak awal lagi.

“Bergantung kepada pembeli untuk menerima kenaikan harga dengan hati yang terbuka. Kami peniaga tiada pilihan. Mohon maaf kepada semua pelanggan,” katanya.

Penjual Roti John, Asmah Jamilus, yang berusia 43 tahun, menyatakan bahawa dia terpaksa menaikkan harga Roti John kerana harga sos cili, sos lada hitam, dan daging telah meningkat.

“Sebenarnya saya ingin menaikkan harga kepada RM10 tetapi suami saya menasihatkan cukuplah sekadar RM9. Tahun lalu saya menjual Roti John dengan harga RM8.

“Saya terpaksa menaikkan harga kerana daging cincang yang kami gunakan naik daripada RM18.50 kepada RM21.50. Sehari kami gunakan 15kg daging.

“Saiz roti kami tidak kecilkan cuma naikkan RM1 sahaja. Kami berniaga sudah lama di sini. Kami sudah maklumkan kepada pelanggan lebih awal,” katanya.

Dalam masa yang sama, Mohd Redzuan Musa, penjual kuih tepung pelita, tidak menaikkan harga barangnya tetapi tetap menjual dengan harga yang sama seperti tahun sebelumnya.

Bagi Hadiya Hamzah, seorang pekerja swasta berusia 34 tahun, dia merasakan harga makanan di bazar ini masih berpatutan.

“Semua barang naik harga sekarang, saya faham peniaga terpaksa menaikkan harga. Pada saya, sekiranya kita membeli juadah di luar kita tetap akan membayar jadi terpulang kepada individu bagaimana untuk terima kenaikan harga ini.

“Untuk belanja di bazar Ramadan saya memperuntukkan tidak lebih RM50 untuk dua orang,” katanya.

Baca:

Pakar kongsi pasangan perlu tahu tahap kesuburan sebelum rancang miliki zuriat lepas kahwin

Sama – sama dijangkiti kutu, Selena Gomez anggap ia sesuatu yang romantik

Kecoh geng pondan tumbuk menumbuk sampai polis pun pening kepala