‘Nampak orang tak ada kepala, kena rasuk guna tongkat’ – Ini perkara penting pendaki kena ambil tahu

Oleh ZULQARNAIN ISMAIL

Pengalaman pendaki gunung ini macam-macam termasuk ada yang pernah nampak orang tak ada kepala.

Pernah keluar berita di akhbar juga tentang pendaki kena rasuk selepas guna sebatang kayu yang ditemui di denai sebagai tongkat.

Ikuti perkongsian pengalaman Muhamad Harris Nasril yang meraih perhatian warganet ini serta wajib dibaca terutamanya mereka yang ingin mendaki:

'Nampak orang tak ada kepala, kena rasuk guna tongkat' - Ini perkara penting pendaki kena ambil tahu
‘Nampak orang tak ada kepala, kena rasuk guna tongkat’ – Ini perkara penting pendaki kena ambil tahu

Gunung Angsi yang merupakan puncak ketiga tertinggi di Negeri Sembilan adalah antara gunung yang mudah untuk didaki.

Gunung terletak di Kuala Pilah ini sering menjadi gunung pilihan bagi para pendaki yang baru mula untuk berjinak-jinak mendaki gunung.

Namun, semudah mana pun gunung itu, apabila kita masuk ke hutan, jangan dipandang enteng.

Kita perlu bawa pelbagai kelengkapan. Adab masuk hutan juga perlu dijaga.

Saya tidak tahu kes ini, mereka ditemui pada jam 2 pagi.

Tapi saya masih ingat ketika saya dan beberapa rakan lain menyelamatkan dua orang pendaki di Gunung Datuk.

Sebabnya adalah mereka tidak membawa lampu kepala.

Mereka fikir boleh turun sebelum hari gelap, tetapi malangnya mereka silap percaturan.

Ceritanya begini.

Ketika kami tiba di puncak Gunung Datuk, kira-kira jam 6 petang ketika itu, dua orang pendaki wanita itu baru hendak turun.

Seorang rakan saya, Edy, ada bertanya pada mereka.

“Ada lampu tak kak?”

“Sempat turun dik, siang lagi” jawab mereka, lalu mereka turun meninggalkan kami.

Beberapa jam selepas itu, kami pun mula turun.

Dalam jam 8 malam, kami terserempak dengan mereka di pertengahan jalan.

Mereka sudah berhenti berjalan. Duduk di laluan. Seorang lagi menangis. Kerana tiada lampu, mereka tidak nampak jalan.

Hutan ini tebal, kalau tiada lampu, memang gelap gelita, hitam pekat.

Tak nampak apa-apa. Membahayakan diri kerana risiko terjatuh.

Kita juga mungkin berhadapan dengan pelbagai binatang lain terutama ular yang sering melintas di laluan pendaki. Naya sahaja kalau terpatuk dek ular kerana kita terpijak ekor dia.

Mujur kami semua ada lampu yang terang, maka kami bantu mereka turun dengan selamat.

Biasanya turun Gunung Datuk tu ambil masa dua jam, tetapi kerana mereka berdua keletihan, maka jadilah perjalanan turun itu empat jam. Apatah lagi, seorang pendaki itu merupakan warga emas berumur 80 tahun.

Itu kalau risiko tidak bawa kelengkapan mendaki, belum lagi cerita makhluk halus.

Dua tahun lepas, saya, orang rumah dan seorang lagi rakan, Arif Atan buat kerja gila.

Kami selesaikan semua G7 (7 gunung di Semenanjung yang melebihi ketinggian paras 7,000 kaki) kecuali Gunung Tahan.

Nampak macam-macam. Orang rumah saya nampak orang tak ada kepala. Saya pula nampak perkampungan di tengah hutan, tiba-tiba ia lenyap apabila saya melepasi kawasan semak.

Mungkin ia halusinasi kerana terlalu penat, atau mungkin juga kerana memang ada makhluk halus?

Cerita dirasuk makhluk halus pun bukan satu dua, banyak kali berlaku.

Tahun lepas, seorang wanita tiba-tiba merangkak seperti harimau, malah mengaum seperti harimau di satu bukit yang tak berapa tinggi. Beliau tak berupaya turun sehinggalah diselamatkan pihak bomba.

Salah seorang penyelamat, ada memberikan komen kepada hantaran saya apabila saya kongsikan video mengenai kisah itu.

Maka saya bertanya kepada beliau, kenapa wanita tersebut jadi begitu.

Beliau mendakwa khabarnya wanita itu ada ternampak sebatang kayu di laluan, lalu menggunakannya sebagai tongkat.

Barangkali tongkat itu milik ‘makhluk’ tersebut, dan ‘mereka’ mahu ia dipulangkan?

Saya pun tidak tahu.

Pokoknya, masuk hutan hendak mendaki, bawalah segala kelengkapan penuh, lampu, tongkat, makanan, air yang cukup mesti ada.

Rancang perjalanan. Kalau tak pernah naik, minta malim gunung, atau orang yang berpengalaman untuk bantu menjadi pemandu.

Semoga bermanfaat.

Baca :

Kopi RM5.74 punya pasal, hukuman dikenakan terhadap pengetua ini amat mengejutkan

Jin peludah juga jilat pinggan mangkuk, ustazah ini kongsi cara mahu tahu kedai makan guna pelaris

‘Tanya sepatah, jawab sepatah’ – Jawapan gadis ini buat pegawai terkejut, telan air liur