Pendekatan kedai ini membantu golongan tak bernasib baik raih pujian netizen

Oleh AHMAD BADRUL

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin banyak restoran dan kedai makan yang mengambil inisiatif untuk membantu golongan kurang berkemampuan

Dengan menyediakan makanan yang sudah dibayar untuk dinikmati oleh mereka.

Salah satu restoran yang menjalankan usaha ini ialah Choon Guan Hainan Coffee yang terletak di Pandamaran, Selangor.

Pemilik restoran tersebut, David Kan Yew Weng, berkata masyarakat setempat yang tidak berkemampuan boleh datang ke restorannya

Dan memilih mana-mana hidangan yang telah dibayar oleh pelanggan sebelumnya.

Pendekatan kedai ini membantu golongan tak bernasib baik raih pujian netizen

Menurutnya, mereka hanya perlu mengambil mana-mana resit yang dipamerkan dan menyerahkannya kepada pekerja di kaunter.

“Mereka hanya perlu mendapatkan resit dan menjamu selera,” kata David menurut laporan Malaysiakini.

David mengimbas kembali bahawa dia terpanggil untuk melakukan usaha ini selepas melihat ibunya sering memberikan makanan kepada orang yang memerlukan satu ketika dahulu.

Ketika itu, katanya, restoran tersebut diuruskan oleh ibunya yang mengambil alih daripada datuknya, yang juga pengasas Choon Guan Hainan Coffee.

“Dulu, Pandamaran hanya sebuah kampung, dan hampir setiap hari ada orang datang ke kedai untuk meminta makanan dan minuman.

“Ibu saya akan memberi makanan yang ada seperti roti, nasi, atau kuih kepada mereka,” katanya.

Menceritakan cabaran yang dihadapi, David berkata pada mulanya tiada pelanggan yang sanggup membayar makanan untuk orang lain, sehingga dia dan para pekerjanya terpaksa melakukannya sendiri.

Langkah itu menjadi permulaan yang baik apabila pelanggan lain turut terpanggil untuk menyokong usaha mereka, katanya.

“Hari ini, sudah banyak makanan yang dibayar terlebih dahulu sehingga kami memerlukan lebih ramai orang untuk datang menuntutnya,” tambahnya.

Antara pelanggan yang sering berkunjung ke Choon Guan Hainan Coffee adalah Mazrina Yasir, yang memuji usaha yang dilakukan David.

Dia turut memuji restoran itu yang menurutnya menyediakan makanan yang sedap dan perkhidmatan yang mesra pelanggan.

“Harganya memang murah. Kalau pergi dengan satu keluarga, belanja RM50 pun kita sudah puas makan,” kata wanita berusia 35 tahun dari Puchong itu ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, David berkata harapannya, sama seperti ibunya, adalah untuk membantu mereka yang sedang berdepan kesusahan.

Dia juga berharap jika mereka berjaya keluar daripada kesusahan hidup, mereka akan membantu golongan yang mengalami nasib yang serupa.

David menegaskan bahawa dia akan meneruskan inisiatif ini walaupun terdapat segelintir pihak yang meremehkan usaha perniagaan kecil seperti mereka.

“Choon Guan Hainan Coffee akan sentiasa ada untuk mengisi perut anda dan menemani anda dalam menghadapi kesukaran yang dihadapi,” katanya.

BACA: Hati-hati kalau mata putih tiba-tiba berubah jadi kuning, mungkin 6 penyakit ini yang serang