Susahnya cari susu untuk anak baru lahir, hanya dapat sedikit saja dalam picagari

Oleh ISMAIL YAHYA

Hidup dalam ancaman dihujani bom tanpa henti, seorang ayah menceritakan bagaimana susahnya dia mencari susu buat anaknya yang baru lahir.

Hamza Abu Toha, 29, dari Gaza memberitahu menerusi catatan di aplikasi X, dia hanya mendapat sedikit susu untuk anaknya, Ali dalam picagari yang diberikan seorang wanita.

“Sebelum Ali dilahirkan, saya berusaha untuk menyediakan susu untuk bayi baru lahir, tetapi saya tidak menemui apa-apa.

“Jadi, saya menganggap mungkin pihak hospital pada hari kelahiran akan memberikannya susu,” kata @hamzaabutoha pada 20 Februari lalu.

Penuntut The Islamic University of Gaza itu berkata, selepas kelahiran Ali, isteri beliau ingin menyusukan anak mereka tetapi tiada air susu yang keluar kerana si ibu kekurangan zat makanan.

“Saya pergi ke bahagian taska dan tidak menemui apa-apa. Saya pergi ke hospital lain dan tidak dapat mencari susu.

“Selepas tujuh jam, salah seorang wanita memberi saya picagari yang mengandungi sedikit susu di dalamnya.

“Kami di utara sedang terkepung,” kata Hamza lagi.

Hantaran Hamza berserta sedutan video beliau memberikan anaknya susu melalui picagari besar meraih sejuta tontonan.

Pencerobohan dan pembunuhan beramai-ramai yang dilancarkan Zionis Israel sejak Oktober lalu menyaksikan penduduk Gaza berdepan krisis kelaparan.

Rejim penggganas pula semakin rakus membunuh dari jarak dekat termasuk menggunakan dron kecil.

Tentera Israel melancarkan operasi tembakan, pembunuhan dan hukuman mati dengan menyasarkan orang awam yang tidak bersenjata di pusat perlindungan, hospital, jalanan dan kawasan kediaman berpenduduk.

Dron kecil Israel juga melepaskan tembakan ke arah rakyat Palestin yang berkumpul untuk menerima bekalan makanan dibawa trak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Baca :

Mahal sangat kos kahwin di negara sendiri, mahu nikah di Thailand? Ini nasihat ejen bertauliah

Budak terjerit pekik sangat takut depan rezeki, ‘hantu’ punya mak bapak bawa anak makan di tempat begini

Resipi pecal sambal sedap & naik rasa, rupanya kena lebihkan bahan ini