Tidur pun ada kaitan dengan kegemukan, ini 5 punca gagal kuruskan badan

Oleh AHMAD BADRUL

Jangan tak tahu tidur pun jika tidak betul aturannya boleh jadi penyebak gemuk.

Fahami 5 punca utama mengapa gagal untuk menurunkan berat badan:

1. Kerap tidak makan atau melangkau waktu makan

Ini adalah kesalahan yang paling kerap dilakukan oleh mereka yang mencuba untuk menurunkan berat badan.

Ramai yang menyangka bahawa makan sedikit atau tidak makan lebih senang menurunkan berat.

Mengikut pemerhatian, ramai yang melangkau waktu makan sarapan atau makan tengah hari.

Amalan yang salah ini akan menyebabkan kadar metabolisme seseorang akan menurun dan menjadi anda lebih susah untuk menurunkan berat badan.

Elakkan melangkau waktu makan utama, sarapan makan tengah hari atau makan malam.

Sebaiknya, tambahkan lagi waktu untuk snek yang sihat di antara waktu makan untuk mengoptimumkan lagi kadar metabolisme anda.

2) Pengambilan protein dan serat yang tidak mencukupi

Hampir 95 peratus daripada rakyat Malaysia tidak mengambil serat yang secukupnya mengikut tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019.

Seseorang perlu mengambil buah dan sayuran sebanyak lima hidangan setiap hari. Serat yang tidak mencukupi dalam diet seharian menjadikan anda lebih cepat lapar.

Kekurangan serat untuk jangka masa yang panjang akan menjadikan diri berisiko untuk mendapat sakit jantung, kanser (termasuk kanser usus), diabetes, Irritable Bowel Syndrome (IBS) dan sembelit.

Pengambilan protein yang tidak mencukupi pula akan menjadikan anda bukan sahaja kehilangan lemak, malah turut kehilangan otot.

Apabila otot hilang, kadar metabolisme anda juga akan menurun, badan menjadi lebih lemah dan kadar imuniti badan juga menurun.

3) Bergantung kepada sejenis diet sahaja

Tiada istilah ‘one diet-fits-all’. Contohnya, jika individu A berjaya menurunkan badan dengan mengikut jenis diet A, maka tidak semestinya individu B juga akan berjaya menurunkan berat dengan jenis yang sama.

Tidak semua diet sesuai dengan setiap individu. Ada yang berjaya menurunkan berat badan dengan mengikut diet ‘intermittent fasting’, ada pula yang berjaya dengan ‘diet eat clean’.

Namun, diet yang paling selamat untuk dilakukan ialah Diet Suku-Suku Separuh seperti yang dianjurkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Diet ini mengawal jumlah porsi dan pada masa sama memastikan badan kita mendapat keperluan makro dan mikro nutrien yang mencukupi.

Elakkan mengikut diet yang tidak dapat dipastikan keselamatan terhadap badan untuk jangka masa yang panjang.

4) Tidak cukup tidur atau tidur yang tidak berkualiti

Tanpa mendapat tidur yang cukup dan berkualiti, usaha mendapatkan berat badan yang ideal mungkin satu yang agak sukar.

Tidur yang tidak mencukupi akan menyebabkan peningkatan hormon ghrelin yang bertanggungjawab berkaitan selera makan seterusnya mengakibatkan selera makan semakin meningkat.

Peningkatan hormon ghrelin ini juga mengakibatkan kecenderungan untuk mengambil makanan yang tinggi dengan karbohidrat.

Selain itu, kekerapan tidur lewat akan menggalakkan kita untuk makan lewat malam dan tabiat pemakanan yang tidak sihat.

5) Terlalu fokus kepada diet atau senaman semata-mata

Terdapat sesetengah individu memilih untuk berdiet sahaja dalam usaha menurunkan berat badan. Malah, terdapat juga individu yang hanya mahu bersenam tanpa menjaga pemakanan mereka.

Usaha untuk mendapatkan berat badan ideal mungkin berkesan, namun cara ini tidak efektif seperti yang disangka.

Ini kerana formula untuk menurunkan berat badan bergantung kepada 80 peratus diet dan pemakanan dan 20 peratus daripada senaman.

Kedua-dua pemakanan dan senaman saling berkait rapat. Jika anda hanya menitik beratkan pemakanan tanpa senaman, anda mungkin lebih mudah kehilangan otot di samping kehilangan lemak.

Seperti yang diterangkan sebelum ini, kehilangan otot akan menyebabkan kadar metabolisme anda semakin menurun dan dalam masa tertentu, berat badan anda akan statik.

Jika anda hanya mahu melakukan senaman tanpa perlu mempedulikan pemakanan, kebarangkalian anda untuk mengambil makanan yang tinggi kalori adalah lebih besar bagi menggantikan kalori yang anda bakar sewaktu anda melakukan senaman.

Ini sama ada akan menjadikan berat badan anda malahan semakin bertambah atau tiada penurunan langsung yang dicapai.

Baca :

Kerap berkongsi gambar dedah aurat, reaksi bekas pelajar tahfiz ini mengejutkan*

‘Macam sakit hati je tengok video ni’ – Rupanya pakcik bergurau kasar tu memang saling ‘membahan’

Masuk sekolah tahfiz rasa macam ‘jauh’ dah pergi, pengakuan lelaki ini mengundang doa warganet