Tidur pun dapat jadi duta, untunglah jadi ‘Cetel’

Oleh ADINDA

Tuah seekor kucing di stesen minyak di Kota Sarang Semut, Yan, Kedah menyebelahinya apabila diumum sebagai duta aplikasi Setel, Petronas Dagangan Berhad.

Menerusi perkongsian Setel di platform X, mereka menunaikan janji dengan mengumumkan kucing diberi nama Cetel.

Nama itu hasil undian netizen sebagai duta aplikasi tersebut.

Tidur pun dapat jadi duta, untunglah jadi 'Cetel'
Tidur pun dapat jadi duta, untunglah jadi ‘Cetel’

Menurut pihak Setel, pihaknya sedang menguruskan pengambilan Cetel sebagai duta mereka.

Dalam masa sama, Setel turut meminta pendapat netizen makanan terbaik buat haiwan berbulu kesayangan ramai itu.

“Collar (kolar kucing) untuk Cetel otw (akan sampai) ya semua.

“Admin (pengendali akaun X Setel) akan jumpa dia soon (tidak lama lagi) untuk drop all the goods dan necessities (uruskan dan berikan semua keperluan).

“(Tetapi) Perlukan masa sedikit sebab Cetel jauh dari min (admin),” katanya.

Gambar gelagat kucing tiga warna itu tidur di stesen Petronas itu dimuat naik di media sosial oleh Muhamad Badri Akif Mohd Azman.

Akif, 28, berkata, dia bertemu dengan kucing itu ketika mengisi petrol di stesen Petronas di situ pada petang, 13 Februari lalu.

“Petang itu, saya dalam perjalanan balik ke rumah saya di Pulau Pinang dari rumah nenek di Kampung Alor Serdang.

“Masa berhenti isi minyak, saya nampak kucing itu tidur di lantai pam 1.

“Saya pun saja-saja rakam gambar dia untuk kenangan kerana memang kalau jumpa mana-mana kucing saya suka ambil gambar,” katanya, lapor Harian Metro.

Dia tidak menyangka perkongsiannya di platform X pada malam 13 Februari lalu meraih perhatian ramai sekali gus mengubah nasib kucing berwarna jingga, putih dan hitam itu.

“Saya muat naik gambar kucing itu sedang tidur ke platform X dengan ‘tag’ Setel sekadar suka-suka tak sangka pula mendapat perhatian netizen dan pihak Setel.

“Saya tak pasti kucing itu milik siapa, tetapi ia memang selalu ada di situ kerana September tahun lalu juga saya pernah ambil gambar kucing ini dan simpan dalam galeri telefon saya,” katanya.

Katanya, dia tidak mengetahui perancangan pihak Setel untuk kucing itu, namun dia mengharapkan kebajikan haiwan itu akan terbela.

Baca :

Ingatkan Bung Mokhtar masa muda, bila baca cerita baru tahu silap orang rupanya

Tak rasa berselera tengok dia review, ‘influencer’ ini sebenarnya memang pempengaruh tarik bermacam reaksi

Kerap berkongsi gambar dedah aurat, reaksi bekas pelajar tahfiz ini mengejutkan*